Tuesday, February 10, 2009

Proses Kaunseling Online


Kaunseling online adalah satu bentuk perhubungan menolong yang dilakukan secara online (tidak bersemuka) dengan penuh professional oleh seorang kaunselor terlatih dengan klien mengikut kod etika kaunseling bagi mencapai kesejahteraan optimum untuk kehidupan klien.

Berdasarkan definisi berkenaan, kaunseling bukan sahaja boleh dilakukan secara bersemuka malahan telah didapati berkesan dilakukan secara online. Banyak kajian telah dilakukan bagi melihat keberkesanan penggunaan teknologi dalam hubungan teraputik antara manusia.

Menurut Akta Kaunselor (1998), kaunseling adalah satu proses hubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi yang dilakukan oleh kaunselor profesional bagi menghasilkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh secara sukarela sepanjang hayat berdasarkan etika kaunseling. Kaunseling adalah berbeza dengan penasihatan atau bimbingan. Ianya merupakan modaliti menolong yang lebih profesional dan memerlukan latihan klinikal dan penyeliaan rapi.

Penasihatan dan bimbingan lebih memfokuskan kepada ‘masalah’ anda manakala kaunseling memberi penekanan dan tumpuan kepada diri anda yang sedang menghadapi ‘masalah’. Oleh itu, kaunseling mengambil masa yang agak panjang bagi menghasilkan perubahan positif yang diinginkan. Bagi saya tidak wujud ‘manusia bermasalah’ yang ada hanyalah ‘manusia dengan masalahnya’.

Anda mengambil keputusan menjalankan kaunseling online kerana anda inginkan sesuatu yang berlainan dalam hidup anda. Anda mungkin mahu mengubah situasi hidup anda, mencari jalan penyelesaian masalah, mahu membuat keputusan, atau mahu memahami apa yang sedang berlaku dalam kehidupan anda. Sebagai langkah pertama dalam proses kaunseling, anda dan saya akan meneroka perasaan anda dan keinginan anda dalam perkara yang anda mahukan perubahan atau pemahaman.

Apabila kita berdua telah saling memahami tentang situasi anda, saya akan membantu anda menghasilkan pelbagai cara dan alternatif bagi anda mencapai apa yang dimaksudkan. Agar kaunseling menjadi efektif, anda mestilah memberikan komitmen tenaga/usaha dan masa serta mengambil bahagian yang aktif dalam proses ini.


No comments:

Post a Comment