Wednesday, February 18, 2009

Layang-layang Putus Tali...


PERNAHKAH anda bermain layang-layang? Layang-layang boleh direka bentuk dengan begitu menarik mengikut pelbagai rupa, warna dan saiznya. Walaupun layang-layang akan melayang gagah di angkasa, tetapi jika putus talinya, ia akan menjunam ke bumi dengan seribu kemusnahan.

Begitulah juga dengan manusia yang memerlukan panduan dan bimbingan dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan cabaran. Kecantikan yang ada pada layang-layang tidak akan bermakna tanpa tali yang mampu menongkah angin dan melayang mengikut haluan. Anda sebagai seorang remaja juga seharusnya memerlukan panduan daripada guru, ibu bapa, rakan, jiran dan masyarakat keseluruhannya.

Segala teguran, nasihat, bimbingan daripada mereka sebenarnya mampu mematapkan diri kita dalam menuju destinasi kehidupan. Malangnya ramai di antara remaja yang menganggapkannya sebagai satu desakan, paksaan, kawalan yang menyekat kebebasan mereka.

Apa itu kebebasan yang dikehendaki oleh para remaja? Bebas bukan bererti boleh melakukan apa sahaja mengikut cita rasa sendiri tanpa mengambil kira kepentingan orang lain. Kebebasan sebenarnya membawa maksud kemampuan menggunakan kebolehan diri untuk mencapai hasilan melalui tindakan yang rasional ke arah kebaikan diri tanpa menggugat kesejahteraan orang lain.

Sebagai contoh kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak, perbuatan vandalisme, melepak, ponteng kelas dan sebagainya jelas menunjukkan tindakan, amalan atau sikap yang ada pada diri para remaja, menjejas kesejahteraan ibu bapa. Justeru, ini bukannya kebebasan yang harus dijadikan amalan pada diri remaja.

Sebaliknya jika para remaja mampu mengurus diri tanpa dipaksa seperti mengurus masa dengan sempurna, mengawal diri daripada melakukan perbuatan yang keji, mengikut ajaran guru dan ibu bapa, beretika, patuh pada peraturan dan undang-undang negara, beramal ibadah serta membantu ibu bapa dalam urusan rumah tangga, maka inilah dia kebebasan yang diharap-harapkan. Bebas daripada dipaksa, bebas daripada menyakiti hati guru, ibu bapa serta rakan-rakan serta berdikari dalam menjalankan segala urusan.

Adalah menjadi lumrah alam, setiap kehidupan akan mengalami pelbagai dugaan yang memerlukan kita meminta bantuan daripada mereka yang lebih berpengalaman. Namun segala nasihat dan panduan janganlah dianggap sebagai ”quran buruk” yang tidak boleh dipakai lagi. Malah ada yang sanggup menganggap ia sebagai kolot atau tidak mengikut peralihan zaman.

Setiap nasihat adalah baik, setiap larangan ada hikmahnya. Kita cari jalan penyelesaian, bukan jalan kebuntuan. Janganlah segala kemewahan yang ada pada diri kita berakhir dengan kemusnahan dek kerana kedegilan dan keegoan para remaja. Janganlah jadikan diri kita bak layang-layang yang putus talinya!

No comments:

Post a Comment