Friday, February 27, 2009

Guru : Menjana Modal Insan Gemilang


GURU diberi tugas untuk menjana modal insan gemilang. Hal ini bukanlah satu perkara yang baru tetapi memang matlamat atau impian bagi setiap guru terhadap pelajar-pelajarnya dalam mengharungi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Insan gemilang adalah puncak daripada kejayaan yang membawanya ke arah kecemerlangan.

Kejayaan pula ialah penggunaan secara maksimum kebolehan yang ada pada diri seseorang untuk menghasilkan pencapaian. Dalam hal ini kebolehan ialah potensi atau fitrah yang dikurniakan oleh Allah yang harus dikembangkan secara menyeluruh, bersepadu dan berterusan sepertimana yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Justeru, untuk membawa seseorang pelajar itu ke arah kegemilangan, maka ia harus bermula lebih awal iaitu melalui proses memperkembang potensi individu secara berterusan.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya! Potensi individu mampu dikembangkan secara berterusan melalui aktiviti kurikulum mahu pun kokurikulum. Guru harus mengintegrasi dan menggandingkan pelbagai kemahiran dengan ilmu yang diperlukan oleh pelajar dalam proses P&P. Inilah modal yang perlu dimiliki oleh setiap insan dalam kehidupan yang serba mencabar. Ilmu dan kemahiran bagaikan irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan.

Kita tidak mahu melahirkan pelajar hanya bersifat ulat buku tetapi perlu melahirkan pelajar yang diumpamakan akar pokok yang sentiasa menjalar meniti zaman bagi mengukuhkan pohon tersebut. Ulat buku adalah hasil daripada perpindahan ilmu daripada pelbagai sumber ke otak manusia tanpa melalui proses transformasi yang akhirnya akan mati kekenyangan. Akar pokok ialah perpindahan ilmu yang membawa kepada penerokaan, inovasi yang berlandaskan survival atau keinginan untuk hidup serta memahami falsafah kehidupan secara lebih bermakna.

Garis panduan tentang pengintegrasian kemahiran sudahpun dibuat dalam kurikulum kebangsaan. Ia merangkumi pelbagai strategi P&P, strategi penjanaan minda kritis dan kreatif, pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran serta pelbagai kaedah dalam pemupukan nilai-nilai murni yang merangkumi semangat patriotik. Persoalannya sekarang sejauh manakah pengintegrasian ini dapat diwujudkan serta dilaksanakan secara berkesan.

Pada pandangan saya, guru harus memahami proses pengintegrasian ini agar P&P tidak hanya berperanan sebagai pemindahan ilmu tetapi mampu menerapkan kemahiran melalui perkembangan potensi yang akan membawa perubahan ke atas dirinya. Sebagai contoh, sesuatu aktiviti pembelajaran sama ada dalam bentuk kurikulum atau kokurikulum perlu mempunyai unsur pengintegrasian seperti berikut yang merangkumi aspek ilmu dan kemahiran:

(a) Perkembangan ilmu: Pendedahan ilmu merangkumi teori, prinsip, konsep terhadap sesuatu topik pembelajaran.

(b) Perkaitan dengan kehidupan: Guru harus mampu menyedarkan pelajar tentang perkaitan antara ilmu yang dipelajari dengan kehidupan masa sekarang serta kehidupan masa depan yang merangkumi kepentingan ilmu yang dipelajari, bidang kerjaya yang boleh diceburi, sumbangan yang boleh diberi, keperluan serta penyelidikan yang perlu dicari, inovasi yang perlu dibuat, kesan dan akhibat yang akan diterima serta keperluannya kepada negara.

(c) Perkembangan kemahiran belajar: Dalam proses penimbaan ilmu guru harus menggalakkan penggunaan pelbagai strategi, kaedah yang merangkumi kemampuan menggunakan alat berfikir (thinking tools) dalam menganalisis atau mentafsir yang membawa kepada penyelesaian sesuatu masalah serta aplikasi pelbagai mod pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam proses mengakses atau memproses maklumat.

(d) Perkembangan kemahiran generik: Melalui beberapa langkah atau prosedur, sesuatu aktiviti pelajar mampu membina sahsiah seperti keyakinan diri, toleransi, pengurusan masa, bekerjasama, sayang menyayangi yang membawa ke arah menghargai nilai kehidupan.

Pengintegrasian di atas mampu menjadikan insan lebih bermodal bukan setakat bermodalkan ilmu pengetahuan tetapi bermodalkan kemahiran yang menjadi faktor penggerak ke arah tindakan yang membawa makna dalam kehidupan...

No comments:

Post a Comment