Monday, February 23, 2009

Menyesal Kemudian Tiada Gunanya…

MUNGKIN ramai di antara anda yang kerap kali diberi peringatan bahawa menyesal kemudian tiada gunanya. Peringatan ini penting kerana setiap tindakan yang dilakukan pada masa ini memberi kesan yang mendalam pada masa akan datang.

Kadangkala sesuatu yang dilakukan itu tanpa disedari. Agak menyedihkan kerana apa yang dilakukan adalah sesuatu yang merugikan. Kesedaran hanya akan berlaku apabila perbuatan itu telah berlalu dan akhirnya segala kekesalan itu tidak lagi dapat membantu diri kita.

Sebagai seorang murid sekolah kita seringkali diingatkan supaya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran tanpa melibatkan diri dengan perkara-perkara yang tidak diingini. Terdapat segelintir murid yang tidak mengendahkan peringatan ini. Mereka mudah terlupa atau sengaja melakukan perkara-perkara tersebut untuk mencabar segala peringatan yang diberikan. Lantas mereka telah melanggar disiplin sekolah seperti ponteng sekolah, tidak mengikut arahan guru, merosak harta benda sekolah dan awam, melepak di tepi jalan atau di pasaraya, tidak menghabiskan tugasan yang diberikan oleh guru serta tidak menghormati guru.

Manakala di rumah pula nasihat ibu bapa tidak dipedulikan. Keadaan menjadi buruk apabila kedua-dua ibu bapa bekerja dan tidak mempunyai banyak masa untuk bersama-sama dengan mereka. Alasan ini dijadikan sebab kenapa mereka terbiar dan tidak mendapat bimbingan yang baik. Semuanya ini hanyalah kerena mereka inginkan kebebasan serta keseronokan tanpa mempedulikan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar.

Kebiasaannya murid yang mempunyai sifat seperti ini tidak mampu berhadapan dengan pelajaran. Mereka kerap berasa bosan ketika belajar kerana fikiran mereka tertumpu ke arah hiburan dan keseronokan. Walaupun dikenakan paksaan, namun jiwa mereka masih keras dan tidak mudah untuk membuat perubahan diri.

Walau bagaimanapun perubahan hanya akan berlaku apabila seseorang itu menerima musibah. Ia mungkin berbentuk kegagalan dalam peperiksaan, kemalangan atau menghadapi kesempitan dalam kehidupan. Sebagai contoh seseorang murid akan menyesal apabila melihat rakan-rakan mereka berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan atau menerima padah seperti terlibat dalam kemalangan sama ada kemalangan jalan raya atau kerosakan harta benda sendiri.

Pada ketika itu barulah perasaan sedih, pilu dengan penuh kekesalan akan dirasai. Tetapi menyesal kemudian tiada gunanya terutamanya yang melibatkan nyawa serta harta benda. Oleh itu sementara kita masih mempunyai ruang dan masa, marilah kita renungi tindakan yang sedang kita lakukan. Jika kita seorang murid, pastikan kita menggunakan sepenuh masa untuk belajar terutamanya yang akan menduduki peperiksaan. Pastikan anda membuat persiapan yang rapi sebelum tibanya hari peperiksaan. Jangan menunggu hingga ke saat-saat akhir untuk membuat ulang kaji. Perbuatan sia-sia itu haruslah dihentikan segera tanpa memberi apa-apa alasan yang hanya bertujuan untuk mempertahankan kebebasan diri. Jangan biarkan masa yang terluang ini berlalu tanpa satu tindakan yang berfaedah.

Semoga segala peringatan yang diberikan oleh guru serta kedua ibu bapa diberi perhatian agar anda tidak akan menyesal di kemudian hari.

No comments:

Post a Comment