Friday, February 20, 2009

Padam `Senarai Hitam' 2008



SETAHUN yang berlalu membawa kita ke pelbagai peristiwa pahit dan manis dalam melayari kehidupan. Peristiwa pahit memerlukan penambahbaikan manakala peristiwa manis memerlukan proses kesinambungan. Peristiwa yang dialami mampu memperkasa diri ke arah membentuk satu perubahan yang positif dan produktif melalui nilai dan etika yang menuju ke arah kecemerlangan. Sebagai seorang pelajar, segala bentuk perlakuan yang negatif serta teguran yang positif oleh orang lain harus diberi perhatian dan tindakan segera.

Dalam hal ini ciri-ciri `senarai hitam' yang ada pada kita harus dianalisis untuk melihat kelemahan diri, aras kematangan, aras kesabaran dan aras ketahanan diri. Daripada senarai yang menunjukkan perlakuan, maka perubahan serta penambahbaikan bolehlah dirancang dan dilaksanakan. Sebagai contoh perlakuan ponteng sekolah, membuli rakan, menghisap rokok, malas membuat latihan, tidak memberi perhatian dalam kelas, tidak berminat untuk belajar serta yang seumpama dengannya adalah di antara ciri-ciri diri yang membawa kehancuran dalam dunia pendidikan.

Hal ini harus ditangani segera agar `penyakit' ini tidak menular ke tahun 2009 dan orang yang patut mengambil tindakan ialah anda sendiri. Setiap kes harus dikaji dari akar umbinya agar seseorang itu dapat mengetahui punca perlakuan dan tabiat yang menjadi penyebab kepada tindakan yang negatif itu. Sebagai contoh perlakuan ponteng sekolah boleh berlaku berpunca daripada beberapa sebab yang mempunyai kaitan dengan perkara lain.

Pada peringkat permulaannya ponteng sekolah mungkin berpunca kerana bangun lewat. Kelewatan ini berlaku kerana pada malamnya seseorang itu terlibat dengan kegiatan lepak bersama-sama rakan yang lain. Penglibatan melepak dengan rakan-rakan mungkin kerana seseorang itu rasa jemu atau bosan dengan kerja-kerja rutin di sekolah tanpa memahami setiap topik dengan mendalam.

Tidak memahami isi mata pelajaran pula mungkin berpunca daripada tidak memberi perhatian dalam kelas kerana tidak berminat terhadap mata pelajaran atau topik tersebut. Perhatian dan minat ada kaitannya dengan pemahaman, penghayatan serta strategi belajar yang menjadi tanggungjawab semua pihak.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah setiap kelemahan yang berlaku pada diri seseorang itu mempunyai rangkaian yang berkaitan antara satu sama lain. Masalah tidak akan selesai jika kita hanya memberi tumpuan pada perlakuan itu sahaja tetapi perhatian dan pemulihan harus dibuat pada setiap rangkaian yang berkaitan yang menjadi punca berlakunya kelemahan tersebut.

Sebagai seorang pelajar, setiap kelemahan harus dikaji dengan melihat kembali tindakan-tindakan yang diambil, perhubungan dengan rakan sebaya, aras pemikiran, perasaan serta aras kebijaksanaan membuat keputusan dalam menentukan tindakan. Setiap tahap harus dibuat penambahbaikan agar kesilapan dan kelemahan yang sama tidak berulang pada tahun ini. Amalan dan tindakan yang positif harus dikekalkan dan diteruskan sebagai pegangan dalam kehidupan.

Nilai murni seperti menghormati ibu bapa, menghormati guru, bertolak ansur dengan rakan dan sentiasa bersifat peramah adalah di antara nilai diri yang mampu mewujudkan keharmonian, perpaduan serta mampu membina negara bangsa yang dinamis yang menjadi aspirasi negara sepertimana tercatat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Sesungguhnya masalah disiplin berpunca daripada kurangnya penerapan nilai murni dalam diri seseorang.

Perasaan marah, bersifat kurang ajar, sombong, mementingkan diri sendiri, kurang didikan agama serta tidak bersifat toleransi adalah antara punca yang boleh mencetuskan pertengkaran sesama rakan yang mungkin berakhir dengan peristiwa yang tragis. Sebagai seorang pelajar, perkara begini harus dihindari kerana kesannya amat buruk dan boleh menjejaskan proses pembelajaran.

Nilai diri yang murni seperti bersifat rajin, bersemangat, bermatlamat, berjiwa besar dan berfikiran terbuka mampu menjadi tonggak kepada kecemerlangan diri serta benteng kepada segala bentuk cabaran. Nilai-nilai murni ini boleh diterapkan melalui aktiviti formal seperti pembelajaran dalam kelas atau secara tidak formal melalui aktiviti harian atau melalui program motivasi diri.

Diharapkan melalui amalan nilai-nilai diri yang murni mampu memberi ketenangan dan keselesaan menghadapi pelajaran dan seterusnya menghasilkan kejayaan pada tahun 2009 ini…

No comments:

Post a Comment