Sunday, March 22, 2009

PILIH KERJAYA SESUAI MINAT

Assalamualaikum...

Kerja oh kerja. Sukarnya rakyat Malaysia kini untuk memilih kerja. Peluang pekerjaan terbuka meluas tetapi gagal dimanfaatkan sepenuhya oleh penduduk tempatan. Dalam konteks ini, ketika negara menuju puncak kecemerlangan, pelbagai peluang pekerjaan tersedia. Bagaimanapun, tenaga kerja mula berkurangan sehingga memaksa kemasukan ramai pendatang mengisi kekosongan bagi meneruskan pembangunan. Keadaan ini tidak mungkin berlaku sekiranya masyarakat tempatan peka akan tanggungjawab kepada negara. Mereka tidak seharusnya memilih pekerjaan, asalkan ia memberi pulangan halal dan memuaskan.

Inilah masalah sebenar masyarakat Malaysia, bukan malas tetapi memilih. Penyakit ini sudah lama bersarang. Biarpun berjawatan tinggi, bergaji lumayan, sampai waktu anda berasa bosan dengan pusingan kerja sama. Ini menyebabkan ramai suka lompat kerja, hanya mencari suasana dan cabaran baru. Bagaimanapun, sampai bila keadaan itu berlanjutan? Tiba masa, anda akan sampai penghujung dan sedar kesilapan diri. Anda perlu menerima hakikat serta belajar menghargai kerjaya anda.

Ada juga benci kerjaya sendiri, menyebabkan anda sering mengeluh, berasa tidak puas hati dan tertekan paling menyeksakan waktu bangun pagi…terasa amat payah memikirkan kebosanan yang perlu dilalui. Peliknya, anda masih bertahan meneruskan kerjaya itu dalam keadaan tidak memberangsangkan. Anda terpaksa menentang kebosanan bagai melawan penyakit serius, bagi mengekalkan kedudukan dan mengharungi cabaran rakan sekerja.

Sekiranya ada mencadangkan anda bertukar kerjaya, anda memberi pelbagai alasan seperti soal anak, gaji, pinjaman belum langsai dan suasana pejabat. Akhirnya anda terperangkap dalam keadaan yang anda pilih. Ini kerana anda percaya, cara terbaik ialah mengekalkan kerjaya dan menerima kebosanan asalkan bergaji lumayan.

Jelas, mesej penyakit ini bermaksud jika inginkan kejayaan, anda mesti berani menerima cabaran dan menderita. Bagaimanapun, anda tidak perlu derita untuk hidup senang. Anda wajar lakukan sesuatu yang anda minati dan memberi pulangan lumayan. Misalnya ahli sukan, ahli perniagaan, pelukis dan penulis novel. Semua kerjaya ini memerlukan minat dan bakat. Melaluinya anda berupaya memperolehi pendapatan tanpa sebarang tekanan dan berasa jemu. Contoh: Anda gemar membaca komik dan menonton video kartun. Bagi anda, kegemaran itu dapat melegakan ketegangan dan menghilangkan kerunsingan. Anda boleh mengambil langkah berani, membuka kedai komik kecil dan jadikan ia tempat pertemuan peminat komik.

Apabila bertambah maju, pilih ruang kedai lebih selesa, sediakan tempat minuman agar pelanggan boleh memilih komik dengan selesa. Mereka juga boleh berkongsi pengalaman sambil minum dan menonton video kartun. Cara itu perniagaan anda berkembang maju. Justeru, anda membuktikan pendapatan lumayan boleh diperolehi melalui kerjaya, disertai minat, kesabaran, ketekunan dan keseronokan.

Lazimnya, anda mengasingkan kegiatan harian kepada tugas dan santai. Anda turut berpendapat, kerja boleh menghasilkan wang, sedangkan santai tiada pulangan. Kata-kata ini sering diluahkan ibu bapa, agar anda dapat membezakan yang baik dan tidak baik. Pun begitu, kerjaya dan keseronokan perlu seiringan. Jika kerjaya sealiran minat, pasti ada keseronokan dan kreativiti pun bertambah. Anda tidak berasa jemu kerana sentiasa diwarnai perkara baru untuk dicuba.

Contoh: Seorang telefonis jemu dengan tugasnya. Setiap hari dia merungut tetapi masih mengekalkan jawatannya dengan alasan, ia jaminan masa depan dan syarikat menawarkan beberapa ganjaran menarik. Dia mengisi masa 40 jam seminggu dan terpaksa melalui 48,000 jam kebencian dan kebosanan sebelum bersara. Disebabkan perasaan bosan dan benci itu, dia semakin cuai menjalankan tugas dan sering menerima amaran daripada ketuanya.

Dia berasa tidak dihargai dan mula memburuk-burukkan syarikat. Sikapnya mendapat perhatian suami, yang mencadangkan supaya dia berhenti kerja. Ini menambah marahnya dan beranggapan suami tidak langsung memberi nasihat positif. Tekanan perasaan ini mengganggu tugasnya. Dia sering diserang sakit kepala dan untuk menghilangkan tekanan, dia beralih kepada makanan ringan. Berat badannya bertambah. Doktor mencadang dia bersenam tetapi nasihat itu hanya diikuti beberapa minggu sahaja. Alasannya letih dan apabila pulang ke rumah, dia tidak dapat memasak untuk keluarga.

Perubahan sikapnya berkesan bukan sahaja kepada tugas dan kesihatannya malah menjejas hubungan kekeluargaan. Ada beranggapan contoh ini keterlaluan, tetapi dalam kehidupan, semuanya mungkin. Cuba perhati sekeliling anda, adakah rakan sekerja berpenyakit ini atau mungkin anda sendiri dibelenggu masalah itu? Menyenangi kerjaya membuat kan anda seronok dan semangat berkorban untuk bekerja. Secara langsung ini memberi rangsangan baik kepada minda.

Penting menyenangi apa anda lakukan, ini meningkatkan keyakinan diri. Jangan jadikan masalah sekeliling mengganggu tumpuan tugas. Masa depan ada di tangan anda. Anda berhak mencoraknva.

No comments:

Post a Comment