Sunday, March 22, 2009

Menjadi Pendengar Yang Baik


Assalamualaikum...
Betul juga kata seseorang 'diam tu lebih baik'. Kadang-kadang apabila kita mendiamkan diri ketika orang lain sedang marah-marah menyebabkan orang berkenaan akan reda kemarahannya. Namun di ketika yang lain pula, jika kita terus mendiamkan diri kita kan terus ditekan, dikecam dan berbagai lagi malah dituduhnya bersalah. Sebenarnya sikap mendiamkan diri kena pada masa tertentu namun tidak sesuai pada ketika yang lain. Sepatutnya kita bukan mendiamkan diri, tetapi menjadi pendengar yang baik.

Menjadi pendengar yang baik adalah segala-galanya bagi memulakan komunikasi yang berkesan dalam keluarga. Cuba perhatikan anak-anak, suami dan jiran di sekeliling anda. Rata-rata ramai yang pandai dan kerap bercakap namun kurang mendengar. Lebih-lebih anak-anak dalam usia meningkat remaja agak susah untuk mendengar arahandaripada ibubapa, kecuali ada cara tentu anak mudah mengikut telinjuk kita.

Sebenarnya memang sedikit mereka yang benar-benar menjadi pendengar yang baik. Kajian menunjukkan mereka yang berjaya dalam hidup hampir semuanya merupakan seorang komunikator yang berkesan dan menjadi pendengar yang baik. Malah mereka yang mempunyai kemahiran sosial dan perhubungan awam yang baik terdiri daripada komunikator yang pandai berbicara dan dalam masa yang sama juga menjadi pendengar yang pintar.

Oleh kerana tidak menjadi pendengar yang baik, maka anak-anak sering bermasalah. Mereka lebih suka meluahkan perasaan di kalangan rakan sebaya mereka. Ini disebabkan rakan sebaya lebih memahami dan mendengar segala luahan perasaan berbanding orang yang lebih dewasa. Faktor tidak wujudnya pendengar yang baik juga salah satu penyebab keretakan dan pergaduhan rumah tangga. Lebih-lebih lagi kerana hanya satu pihak sahaja yang menjadi pendengar atau terpaksa mendengar, manakala satu pihak yang lain sering sahaja yang bercakap atau memberi arahan.

Terdapat dua sebab utama kenapa kita mesti mengetahui rahsia untuk menjadi pendengar yang baik. Pertamanya setelah anda sanggup mendengar dengan baik, anda mempelajari apa yang anda tidak ketahui selama ini. Memang benarlah bahawa selalunya kita tidak ketahui kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri kita sendiri. Kita lebih mudah menangkap dan melihat kelemahan orang lain.

Kedua, manusia hanya mengutamakan mereka yang menjadi pendengar yang baik. Lebih-lebih lagi di tempat kerja dan mana-mana organisasi mengutamakan orang yang mudah mendengar arahan, patuh dan bertindak pada arahan. Di rumah pula kita kan lebih sayang dan mudah berbicara dengan anak yang 'suka mendengar cakap' berbanding dengan 'anak yang susah mendengar cakap'.

Mereka yang mempunyai kemahiran komunikasi yang baik terdiri daripada mereka yang tahu bila dia perlu memperkatakan sesuatu, dan bila pula masanya untuk diam dan menjadi pendengar yang baik. Bila waktu diam dan mendengar dan bila pula memberi peluang orang lain bercakap. Oleh itu, mendengar yang baik bermaksud satu proses mencerap dan merakam butiran kata-kata atau ucapan daripada sumber atau si perucap sambil memikirkan apakah yang perlu diberikan perhatian, mana perkara pula yang perlu diketepikan. Juga pendengar yang baik mengutamakan tindakan yang perlu diambil hasil daripada mendengar atau mencerap itu.
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil untuk anda menjadi pendengar yang baik:
  • Wujudkan suasana yang mesra dalam perbualan atau interaksi.
  • Dengar dengan teliti apa yang sedang diperkatakan.
  • Berikan perhatian sepenuhnya.
  • Berikan 'eye-contact' atau kontak mata.
  • Lihat tepat ke dalam anak matanya.
  • Anggukan kepala sebagai tanda gerak balas anda.
  • Ikuti perbualannya dengan berkata, "ya…ya…aha", gitu".
  • Cuba selami perasaan orang yang sedang bercakap dan hayati ceritanya.
  • Ubah mimik muka anda seiring dengan perkara yang dipertuturkan. Misalnya, jangan pula sesuatu perkara yang sepatutnya anda terkejut tetapi anda buat tidak tahu pula.
  • Elakkan dari mengkritik.
  • Jangan menyampuk dan memotong cerita yang belum selesai.
  • Susuli dengan soalan-soalan sebagai tanda yang anda memang mendengarnya dengan penuh minat.
  • Ulangi apa yang dibicarakan sebagai tanda anda faham atau untuk memastikan apa yang anda fahamkan itu betul.
  • Cuba bertindak pada perkara yang difikirkan betul.

Untuk menjadi seorang yang mempunyai kemahiran sosial yang baik, anda perlu mempraktikkan kaedah yang diberi di atas setiap hari sehingga ia mula menjadi tabiat baru anda. Mungkin di peringkat awal kita agak janggal dan canggung melakukannya. Namun lama-kelamaan akan membuah hasil yang di luar jangkaan anda sendiri.

Untuk itu anda perlu juga membuat latihan seperti dalam menjawab telefon di mana kita mesti membalas cakap dengan menjawab, "Ya… eh… aha, " dan sebagainya. Atau gunakan kaedah bercakap sendiri dan menghadap cermin sambil melihat watak dan raut muka anda sendiri seolah-olah anda sedang mendengar. Atau perhatikan mereka yang mempunyai sifat pendengar yang baik ketika mereka berbual atau bersembang.

Jika usaha ini dijalankan secara serius, insya-Allah ia akan mendatangkan hasil. Rakan-rakan mula menjadikan anda teman karibnya. Orang bawahan anda mula menghormati anda sebagai ketua. Begitulah berkuasanya bila anda mahu menjadi pendengar yang baik. Anda akan mula disenangi dan disegani.

2 comments:

  1. cara duduk plg pnting...jgn main pen..duduk biaq tegak..mcm dlm kls etika br2 ni...hehe

    ReplyDelete
  2. taw xpe. so praktis kn panduan 2 ye...

    ReplyDelete